Wednesday 5 September 2012

Menobatkan IKS sebagai pengukuh ekonomi

Berita Harian Online
Selasa 16 Disember 1997  16 Syaaban 1418


INDUSTRI kecil dan sederhana (IKS) berfungsi penting mengukuhkan asas industri negara. Sebagai mukadimah kepada negara industri dan mengelak pergantungan kepada sensitiviti ekonomi global, IKS perlu dimajukan secara bersepadu dan menyeluruh, apa lagi dalam hubungan pengukuhan ekonomi jangka panjang. Wartawan BH, BAKHARI ARIFF memberikan pandangannya.



DR MOHA Asri Abdullah, seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), cenderung memberi definisi industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai kilang atau firma yang mempunyai pekerja sepenuh masa kurang daripada 200 orang.

Presiden Persatuan IKS, Looi Teong Chye bagaimanapun melihat IKS sebagai firma yang mempunyai kurang 75 pekerja.

Definisi menggunakan hanya bilangan pekerja mungkin agak longgar, menyebabkan sesetengah pendapat meletakkan modal berbayar kurang daripada RM500,000 sebagai IKS, selain bilangan pekerja.

Dalam konteks ekonomi dewasa, pengelasan IKS kepada kebanyakan orang ialah gambaran sektor perkilangan lalu mengasingkan pelbagai sektor lain seperti perkhidmatan, pembinaan, pertanian, perikanan dan perdagangan.

Perbincangan IKS secara menyeluruh perlu memasukkan semua sektor yang didefinisikan sebagai modal berbayar kurang RM500,000 dan pekerja kurang 200 orang.

"Jika semua sektor ini diambil kira sudah pasti sumbangan IKS kepada pembangunan negara khususnya dalam aspek memperkukuh asas ekonomi negara. Tanpa sumbangan IKS pasti pertumbuhan pesat ekonomi tidak akan berlaku," katanya dalam buku bertajuk IKS di Malaysia - Tinjauan Terhadap Perkembangan Program Bantuan (1997, Printmate Sdn Bhd).

Dalam konteks pertumbuhan kilang, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan 92.4 peratus daripada jumlah pertumbuhan kilang dalam sektor perkilangan adalah terdiri daripada IKS pada 1975. Angka itu agak menurun pada 1985 dengan 92.1 peratus dan menurun lagi pada 1992 pada tahap 89.6 peratus.

Pada 1995 pula, pertumbuhan IKS dalam sektor perkilangan ialah 88.9 peratus. Jika gambaran pertumbuhan ini diambil kira, apakah agaknya sebab kepada penurunan itu dan kesannya kepada kestabilan asas ekonomi?

Antara lain alasan kepada pengurangan itu bagi Dr Moha Asri ialah: "Sebahagian besar daripada IKS berkembang dan memasuki kategori yang lebih besar."

Penelitian Dr Gomez dan Prof Jomo (1997, Malaysia's Political Economy) mengesahkan alasan berkenaan kerana pada 80-an selaras pelantikan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada Julai 1981; Dr Mahathir ingin mewujudkan kapitalis Melayu atau konglomerat Melayu.

Pemikiran Dr Mahathir boleh dilihat sejak beliau menulis buku Dilema Melayu. Beliau mengkritik peranan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (Rida) - kini Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Orang yang sudah menunjuk kemampuan mereka itu boleh berjaya dalam perniagaan tidak mendapat bantuan Rida. Sebab, Rida berpendapat tujuan kewujudannya bukanlah menolong orang yang berada menjadi lebih kaya," (1982, Melayu Dilema).

Kepemimpinan Dr Mahathir boleh dikatakan berjaya mewujudkan kapitalis Melayu melalui program penswastaan. Dan, dengan demikian Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1970-1990) berjaya meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam kek ekonomi.

Usaha membantu melalui pemberian kontrak, lesen dan modal kepada usahawan yang sudah berjaya bagi membesarkan perniagaannya, bagaimanapun mewujudkan satu jurang kepada pertumbuhan IKS, sekali gus melonggarkan kekuatan asas industri dan kestabilan rakyat di negara ini.

Tanpa menafikan kejayaan rekayasa sosial melalui DEB, pertumbuhan yang lebih seimbang dalam industri perlu diperhatikan supaya dalam kerangka menyeimbangkan ekuiti Bumiputera dengan kaum lain, pertumbuhan IKS untuk mengelak pergantungan modal dan teknologi asing.

Oleh itu pada awal tahun ini, Dr Mahathir melihat 'lompang' berkenaan, lalu dengan segera mengarahkan Kementerian Pembangunan Usahawan mempergiat usaha meningkatkan bilangan kelas menengah Bumiputera, iaitu golongan berpendapatan lebih RM5,000 sebulan.

Sedangkan, sebelum ini penumpuan khusus pada dua dasawarsa lalu ialah mewujudkan syarikat payung yang dimiliki Bumiputera, dengan ayat lebih mudah ialah untuk menghasilkan jutawan dan bilionawan.

Walaupun tidak dapat mengelak untuk memasuki pasaran global, negara ini pada pascamerdeka terpaksa bergantung kepada pasaran antarabangsa bagi barangan pengiklanan menyebabkan barangan Malaysia kurang dapat bersaing.

"Melalui keupayaan persaingan bagi barangan eksport, barangan Malaysia memerlukan sedikit perlindungan dan ini tentunya meningkatkan kos pengeluaran dan harga pengguna dalam ekonomi tempatan.

"Iltizam dalam program industri berat yang diamalkan turut memberi kesan negatif terutamanya apabila membabitkan pinjaman luar yang banyak dan kebergantungan kepada teknologi luar," tulis Prof Jomo dalam bukunya Malaysia's Economy in the Nineties (1994, Pelanduk Publications).

Berbanding terlampau tumpuan kepada industri berat, IKS boleh berperanan untuk tumpuan kepada orientasi eksport tetapi pengurangan kepada pergantungan modal dan teknologi luar.

"IKS dalam konteks ini boleh memperkukuhkan struktur asas pembangunan perindustrian negara yang sedia ada kerana pergantungan ekonomi terlampau kepada pasaran antarabangsa menyebabkan ia sangat sensitif kepada keadaan, perubahan dan aktiviti ekonomi antarabangsa," tambah Dr Moha Asri.

Menurutnya, IKS berperanan sebagai alternatif kepada syarikat gergasi luar negara yang hanya datang ke negara ini semata-mata untuk mengaut keuntungan, tanpa memindahkan kepakaran teknologi untuk rakyat jelata negara ini.

Paling mengecewakan apabila syarikat gergasi hanya datang ke negara ini ketika negara menawarkan buruh yang murah serta pelbagai pengecualian cukai dan mereka pulang semula ke negara asal atau berpindah ke negara lain yang menawarkan insentif lebih baik.

Selain itu, IKS boleh membantu industri pembuatan makanan, pakaian dan peralatan plastik, alatan perabot untuk kegunaan tempatan yang tidak dapat dilakukan oleh syarikat gergasi besar.

"Pembabitan IKS dalam pelbagai sektor bukan saja boleh menjana dan mengoptimumkan penggunaan buruh tetapi juga ia tidak terjejas sekiranya ada penarikan operasi dan pelaburan oleh firma atau syarikat antarabangsa yang beroperasi di negara ini," katanya.

Dalam kemelut ekonomi yang dialami sekarang, IKS perlu dibantu atau diperkukuhkan lagi bagi mempertahankan negara daripada kehancuran ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 1998 menyediakan dana RM1 bilion bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya bersaing untuk pasaran dalam dan luar negara.

Anwar melihat peruntukan dana berkenaan memungkinkan kekukuhan pengusaha IKS dan akhirnya mampu mengeluarkan barangan berbentuk eksport, seterusnya memperbaiki keadaan ekonomi yang semakin gawat sekarang.

Bagaimanapun, setakat ini, dana berkenaan dikatakan belum diagihkan walaupun Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pada Disember lalu di Dewan Rakyat bahawa dana berkenaan boleh digunakan serta-merta bagi mengatasi krisis ekonomi.

Pengusaha IKS kini merasakan sangat tertekan khususnya dalam aspek modal atau pinjaman dengan bank kerana bank semakin memperketatkan pinjaman dan hanya memberikan kepada IKS yang boleh bersaing dan berupaya membayar balik pinjaman dengan segera.

Sehubungan itu, Looi meminta kerajaan mempercepat pengagihan dana berkenaan bagi membolehkan pengusaha IKS dapat meneruskan operasinya.

Looi berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan diberitahu Perbendaharaan masih belum menyiapkan garis panduan pengagihan dana berkenaan.

"Kita menyambut baik pengumuman Menteri Kewangan kerana banyak pengusaha IKS merungut mengenai kesukaran mendapat pinjaman dengan bank sejak berlaku krisis ekonomi di negara ini.

"IKS perlu dibantu bagi membolehkan ia dapat terus beroperasi dan bersaing dan sekali gus memperkukuhkan ekonomi negara ini," kata Looi yang kecewa dengan sikap bank dewasa ini.

Dalam keadaan sekarang, IKS perlu disusun kembali dengan melihat secara menyeluruh hambatan yang dialami serta pertolongan yang boleh diberikan untuk memastikan asas perindustrian negara dapat dijayakan.

Menurut Looi, setakat ini belum ada bancian lengkap IKS seluruh negara dan menyebabkan program yang lebih tersusun tidak dapat dilaksanakannya.

Persatuan IKS juga akan membuat bancian lengkap mengenai pengusaha IKS di seluruh negara termasuk masalah yang dihadapi, bilangan pekerja dan lokasi.

"Kita merancang untuk melancarkannya pada 12 Disember lalu dengan mengagihkan 200,000 borang tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana Rafidah tidak dapat hadir dalam majlis itu.

"Kami memperuntukkan RM500,000 untuk menjayakan program bancian ini termasuk bayaran iklan, gaji pekerja dan melantik seorang pegawai perhubungan dan dijangka dapat menyiapkan dalam tempoh empat bulan," katanya Looi.

Banyak kementerian terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam pembangunan IKS termasuk Kementerian Perdagangan dan Industri, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Sumber Manusia serta an Kementerian Belia dan Sukan.

Seperti cadangan Dr Moha Asri, tibalah masanya penubuhan Institut Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IPIKS) diwujudkan dalam usaha kita menangani sebarang permasalahan dan perkembangan IKS di negara ini.






0 comments:

Post a Comment


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Walgreens Printable Coupons